Selamat Datang
Waktu Lawatan
Isnin - Khamis Pagi 8.30 - 12.30
Petang 2.30 - 4.30
Jumaat Pagi 8.30 - 11.30
Petang Tutup
Sabtu, Ahad & Cuti am Tutup
Taman Konservatori Pertanian (TKP), Universiti Putra Malaysia adalah sebuah kawasan pemuliharaan tumbuhan ex-situ yang mengumpulkan koleksi tumbuhan asli Malaysia. Berkonsepkan taman botani, ianya meliputi keluasan hampir dua hektar yang pada asalnya merupakan ladang getah pelbagai klon. Sejarah ladang getah diperingkat awalnya adalah di bawah pengawasan Unit Ladang Universiti (TPU) sekitar 1980-an sehinggalah tahun 1996 ianya diambil alih oleh Institut Biosains sebagaimana tertubuhnya institut ketika itu. Seiring dengan perkembangan penyelidikan semasa, skop Institut yang luas telah menjadikan aktiviti-aktiviti penyelidikan lebih dinamik.
Tahun 2003 merupakan sejarah kepada UPM di mana TKP ditubuhkan dan Institut dipertanggungjawabkan untuk merancang segala perjalanan aktiviti penyelidikan dan pembangunan komersial yang berasaskan tumbuhan. Sepanjang penubuhan TKP, ianya sering menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan terutamanya ahli akademik, saintis hinggalah orang perseorangan. Kini hampir 600 spesies berjaya dikumpulkan hasil daripada aktiviti ekspedisi saintifik di seluruh negara.
Taman ini mengandungi 11 zon utama yang dibahagikan kepada koleksi tumbuhan aroma, tumbuhan ubatan, ulaman, halia hutan, periuk kera, orkid hutan, keladi hutan, rempah ratus, aquatik, buah-buahan hutan dan paku-pakis. Dengan adanya koleksi-koleksi sebegini ianya membantu universiti untuk memajukan penyelidikan dalam sektor pertanian, farmaseutikal dan hasilan semulajadi sekaligus memulihara keberkekalan spesies asli daripada kepupusan.
Koleksi tumbuhan ubatan ini menghimpunkan pelbagai spesies yang mempunyai pelbagai khasiat tersendiri. Setiap khasiat tumbuhan ubatan ini didokumentasikan berdasarkan kaedah tradisional. Terdiri hampir 100 spesies yang kebanyakannya spesies asli diselangi dengan beberapa spesies eksotik. Koleksi ini merupakan ikon kepada TKP yang mana ianya adalah koleksi terbesar di dalam taman dan sering menerima kunjungan pelawat.
Kelazimannya tumbuhan aroma ditakrifkan sebagai tumbuhan yang berupaya mengeluarkan bau aroma pada bahagian-bahagian tertentu seperti akar, kulit, daun, bunga, buah dan juga biji. Aroma terjadi daripada proses tindakbalas kimia secara semulajadi dalam tumbuhan yang akan menghasilkan minyak pati atau oleoresin. Kemudiannya baun wangi akan tersebar secara semulajadi dengan dipengaruhi faktor persekitaran. Koleksi yang terkumpul setakat ini mengandungi beberapa spesies eksotik yang sesuai dengan iklim Malaysia manakala selebihnya adalah asli .
Tergolong dalam famili Zingiberaceae merupakan tumbuhan perennial herba yang mempunyai rizom atau rizom menjalar. Bernilai tinggi dalam industri makanan dan ubatan malah juga banyak dijadikan tanaman landskap. Secara ekologinya, halia hutan gemar pada kawasan lembab seperti tepi sungai dan juga hutan gunung. Jumlah sebenar spesies halia hutan yang terdapat di Malaysia masih tidak dapat ditentukan disebabkan kekeliruan taksonominya namun Semanjung Malaysia dianggarkan mempunyai hampir 150 spesies. Koleksi di taman ini terdapat hampir 50% daripada jumlah spesies Semenanjung Malaysia termasuk spesies yang tidak diketahui namanya (kemungkinan spesies baru). Bagi setengah-setengah koleksi spesies halia hutan ini ada yang berstatus endemik atau jarang dijumpai untuk satu-satu kawasan.
Rempah ratus merupakan industri komoditi utama yang telah berkurun lamanya wujud dalam sektor perdagangan dunia. Ianya mempengaruhi iklim ekonomi dunia yang memberikan nilaian jutaan ringgit. Tidak banyak diketahui tentang spesies asli yang terdapat di Malaysia tetapi spesies eksotik sudah lama diperkenalkan semenjak era pemerintahan kolonial. Kebanyakan spesies yang ditanam di negara ini sememangnya sesuai dengan iklim tropika dan juga baik ditanam secara ladang. Hampir 20 spesies berjaya dikumpulkan di taman ini yang terdiri daripada spesies asli dan juga komersial.
Paku-pakis tergolong dalam kumpulan tumbuhan rendah bersama-sama dengan lumut. Walaupun mempunyai tisu vaskular menyamai tumbuhan tinggi namun proses reproduktifnya yang membezakan di mana pembiakannya melalui penghasilan spora. Terdapat dua jenis paku-pakis iaitu paku-pakis primitif dan paku-pakis moden. Dianggarkan 1,500 spesies paku-pakis terdapat di Semenanjung Malaysia yang merangkumi terrestrial dan epifit berkelimpahan dari hutan tanah rendah hingga hutan pergunungan. Koleksi di taman ini mewakili 10 % daripada jumlah spesies Semenanjung Malaysia dan dikenalpasti juga mempunyai nilai ekonomi seperti ubatan, makanan dan landskap.
Tergolong dalam famili Araceae sejenis tumbuhan herba terrestrial, epifit, pepanjat dan aquatik. Berbeza dengan tumbuhan berbunga lain di mana bunganya terbit pada jambak bunga dipanggil spadiks dengan dilindungi seludang daun dipanggil spath. Ekologi keladi hutan biasanya mudah dijumpai pada hutan lembab terutamanya tepian sungai, paya dan hutan gunung. Keladi bukan sahaja sebagai sumber makanan malah ianya mempunyai nilai hortikultur dan juga ubatan. Masih kurang jelas tentang kepelbagaian spesiesnya di Malaysia disebabkan kekeliruan taksonomi, namun koleksi di taman ini cukup untuk mewakili beberapa genus dan spesies yang terdapat di negara ini.
Tergolong dalam famili Orchidaceae sejenis tumbuhan perennial herba yang merupakan famili kedua terbesar di dalam kumpulan tumbuhan berbunga. Bersifat terrestrial dan epifit dengan dua jenis cara tumbesaran iaitu simpodial dan monopodial. Malaysia merupakan habitat semulajadi terbaik untuk orkid yang mempunyai taburan meluas daripada hutan jenis tanah rendah hinggalah pergunungan. Dianggarkan hampir 850 spesies asli terdapat di Semenanjung Malaysia dan ratusan lagi masih tidak diketahui spesiesnya disebabkan kekeliruan taksonomi. Hampir 100 spesies orkid asli telah dikutip daripada habitat semulajadi terdapat di taman ini yang merangkumi pelbagai orkid tanah rendah hingga kawasan gunung.
Tumbuhan akuatik adalah tumbuhan yang hidup di persekitaran berair sama ada di permukaan atau di dalam air. Ianya merupakan tumbuhan bervaskular yang terdiri daripada paku-pakis dan angiosperma (termasuk dikotiledon dan monokotiledon). Malaysia yang mempunyai keunikan hutan berbagai jenis termasuk berpaya banyak menampung kehadiran spesies-spesies aquatik. Sekarang, tumbuhan aquatik telah mula dikomersialkan sebagai tumbuhan akuarium, landskap kolam dan penapis kepada pencemaran ekosistem air. Koleksi tumbuhan aquatik di taman ini kebanyakannya dikutip daripada habitat berair di Semenanjung Malaysia antaranya keluarga keladi, teratai dan paku-pakis.
Ulam memberi maksud kepada tumbuhan yang dimakan secara mentah atau separa masak (celur). Biasanya dimakan bersama bahan perasa yang dibuat secara tradisional seperti budu, cencaluk atau sambal belacan. Makan ulam merupakan amalan tradisi di kalangan masyarakat Melayu kampung dan sekarang meluas dimakan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian tumbuhan seperti daun (pucuk muda), umbut, umbisi, bunga, buah dan biji. Di Malaysia lebih daripada 120 jenis ulaman yang terdiri daripada pelbagai spesies telah dikenalpasti. Sejumlah 50 spesies daripadanya terdapat di taman ini termasuk koleksi tradisional atau yang komersial dipasaran.
Sejenis tumbuhan epifit yang gemarkan kepada habitat kurang subur dan tanah berasid. Ianya unik kerana modifikasi daunnya yang boleh membentuk mangkuk di hujung daun. Terdapat dalam pelbagai warna dan bentuk disebabkan keupayaan melakukan kacukan semulajadi untuk menghasilkan hibrid sendiri. Juga dikenali sebagai tumbuhan karnivor kerana memerangkap serangga yang memasuki mangkuk untuk membekal sebahagian nutrien yang diperlukannya. Terdapat lebih kurang 15 spesies periuk kera yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia dan empat spesies daripadanya terdapat di taman ini.
Penyelaras
Unit Biodiversiti
Institut Biosains
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
No. Tel : 0389472130
No. Fax : 0389472209
Emel: bio-d_ibs.upm.edu.my